Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, apakah hukum tidak memotong kuku bagi siapa yang menunaikan ibadah qurban
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, bagi sesiapa yang melakukan ibadah qurban, hukumnya adalah sunat untuk tidak memotong kukunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehinggalah selesai mereka berqurban. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah R.anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda : إِذَا دَخَلَ العَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُم أَنْ يُضَحِّىَ فَلاَ يَأْخُذَ مِنْ شَعْرِهِ وَلاَ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّىَ Maksudnya : “Apabila masuk sepuluh hari yang pertama bulan Zulhijjah dan jika dalam kalangan kamu ada yang ingin melakukan qurban, maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sedikit pun sehinggalah hari penyembelihan qurban”. (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.