Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum w.s.t. Terlebih dahulu saya mohon ribuan terima kasih kerana ustaz sudi membaca dan membantu saya untuk menjelaskan mengenai kemusykilan dalam masalah bersetubuh di siang hari bulan ramadhan. Untuk pengetahuan ustaz saya telah lama mendirikan rumahtangga pada tahun 2011. Sekarang saya dikurniakan 3 orang anak. Setahun awal perkahwinan saya berjauhan dengan suami kerana masih belajar. Kami berjumpa di hari cuti sahaja. Dalam tempoh setahun itu iaitu di bulan ramadhan pada tahun 2012, saya pulang ke rumah suami. Kami telah terlanjur di siang hari di bulan ramadhan untuk sehari. Untuk pengetahuan ustaz, suami saya langsung tidak tahu akan hukum dan akibat perbuatan tersebut. Dia cuma ingat batal puasa dan qada’ puasa sahaja. Pada awalnya suami saya tiada niat untuk bersetubuh tetapi hanya niat "ringan -ringan" (cumbu, peluk dll) sahaja. Ketika itu saya bermusafir tetapi suami tidak. Ketika ringan ringan tu suami terpancut keluar air mani. Saya mengaku salah saya kerana saya tahu hukum bersetubuh di siang hari tetapi tidak menjelaskan hukum tersebut kepada suami malah saya menggalakkannya untuk meneruskan niat bersama kerana saya sendiri menginginkannya ketika itu. Saya fikir alang alang dah batal puasa sebab suami keluar air mani baik teruskan aje. Ketika awal perkahwinan suami saya mudah pancut walaupon tidak memasukkan zakar di tempat sepatutnya. Jadi ketika itu tanpa sengaja suami saya keluar air mani ketika ringan ringan bersama saya. Selepas itu saya minta dia teruskan je bersama sebab dia dah batal puasa. Sebelum dia bersama saya dia telah membatalkan puasanya dengan minum air terlebih dahulu sebab dia ingatkan ketika keluar air mani tanpa sengaja tadi puasanya terbatal. Jadi timbul permasalahan di sini ustaz iaitu: 1) Hukum suami saya bersetubuh di siang hri di bulan ramadhan tanpa mengetahui langsung akibat perbuatan tersebut? - Saya telah Qada’ puasa itu dan taubat nasuha. 2) Dia telah membatalkan puasanya dengan minum air sebelum bersetubuh. 3) Dia keluar air mani walaupon tidak bersama ketika adegan ringan. 4) Suami isteri yang berjauhan dan terlanjur di bulan ramadhan. 5) Hukum ke atas suami kerana 6 tahun sudah berlalu. Tidak qada’ puasa apa lagi kerana masih tidak mengetahui kifarah yang perlu dia tanggung. Bila saya terangkan kifarah yang perlu dia tanggung dia sangat terkejut. Sebab dia jahil dalam hukum perbuatan tersebut. Dia sendiri cakap sekiranya dia tahu akan hukum tersebut dia tidak akan meneruskan niat untuk bersama. Bantu kami ustaz untuk terangkan dan bagi pencerahan mengenai kifarah yang perlu suami saya tanggung akibat kejahilannya ketika itu.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, antara perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah mengeluarkan air mani dengan sengaja, tanpa melakukan persetubuhan seperti ciuman atau mengeluarkannya dengan tangan sendiri ataupun dengan tangan isteri atau dengan sentuhan. Maka batal puasanya dan wajib diqada’ tanpa perlu kaffarah kerana puasa telahpun terbatal sebelum berlaku persetubuhan suami isteri. Namun kewajipan puan adalah mengingatkan suami agar menggantikan puasanya itu, dan membayar fidyah kerana telah menunda qada’ puasa tanpa uzur syarie, namun, seandainya puasanya itu ditunda kerana suatu keuzuran yang diiktibar oleh syara’ seperti sakit dan sebagainya maka puasa tadi boleh diganti dengan membayar fidyah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.