Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum bercinta atau berhubung (telefon @ berjumpa) dengan suami orang. Walaupon si wanita tahu bahawa suami orang tersebut terdapat masalah dengan isterinya. (* Tambahan, pada masa yang sama si isteri tidak melakukan tanggungjawab sebagai seorang isteri seperti masak dan hormat mertuanya sendiri.) Adakah si wanita itu salah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, seorang suami yang telah berumahtangga dan dalam masa yang sama dia mempunyai hubungan dengan wanita lain yang bukan mahramnya, hukumnya adalah berdosa, kerana ia boleh membawa dan mendorong kepada maksiat dan fitnah. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”. (al-Israa : 32) Bagi wanita yang bercinta dengan suami orang adalah haram dan berdosa serta boleh disabit sebagai pihak yang merosakkan rumahtangga, sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda; ليس منا من خبب امرأة على زوجها او عبدا على سيده Maksudnya : “Bukan dikalangan kami (umat Nabi Muhammad SAW) orang yang merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya, atau hamba dengan tuannya”. (Riwayat Abu Daud) Sebagai suami, hendaklah menjaga pergaulan dan elakkan dari berhubung atau membuka ruang kepada wanita lain tentang masalah dan aib isteri walaupun wanita itu kelihatan baik dan mengambil berat, kerana perihal rumahtangga sebaiknya dibincang dengan pasangannya sendiri dan bukan untuk dikongsi dengan orang lain. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.