BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Suami saya tidak membenarkan saya menghadiri apa-apa jemputan dan kenduri yang dibuat oleh jiran-jiran atas alasan suami saya berkecil hati dengan mereka semua kerana tidak membeli barangan jualannya. Saya memberitahunya supaya biarkan sahaja dan mungkin jiran-jiran tidak berminat. Saya juga beritahu yang jiran amat penting. Suami saya tidak peduli. Disebabkan itu, saya berasa malu dan bersalah dengan jiran-jiran kerana tidak menghadiri jemputan tersebut. Soalannya, salah/berdosa atau tidak jika saya pergi juga ke kenduri tersebut? Bagaimana saya hendak bersemuka dengan jiran-jiran kerana malu? Boleh kah saya memberitahu jiran-jiran yang suami saya tidak membenarkan saya pergi ke jemputan mereka? Saya tidak mahu jiran-jiran beranggapan yang saya sendiri yang tidak mahu pergi. Anak saya juga tidak dapat pergi seperti saya. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, pada asasnya isteri perlu taat dengan suami. Bagaimanapun, bagi kes yang puan hadapi, alasan yang diberikan oleh suami berpunca dari keengganan jiran-jiran membeli barang jualannya ini merupakan alasan yang kurang sesuai. Menghadiri jemputan sesama jiran adalah dituntut, ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA., bahawa beliau berkata: “Rasulullah SAW dalam menyatakan hak (tanggungjawab) seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain antaranya”: وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ Maksudnya: “Dan apabila dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya)”. (Riwayat Muslim) Dalam berhadapan dengan situasi seperti ini, puan perlu bertindak dengan penuh hikmah, ibarat menarik benang dalam tepung. Menghormati serta mentaati suami dalam memelihara keharmonian keluarga sama pentingnya dengan keharmonian berjiran. Hakikatnya manusia tidak boleh hidup bersendirian. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 159

message user image