Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya ingin bertanya tentang jatuh atau tidak talak yang suami saya telah lafazkan. situasi kami bertengkar dan suami saya sangat memarahi saya.dan saya menyuruh suami melepaskan saya. keadaan suami saya lagi marah, pertengkaran semakin teruk dan dia telah melafazkan cerai dengan berkata "norazuria aku ceraikan hang dengan talak satu" masa dia melafazkan dia dalam keadaan yang sangat marah. untuk pengetahuan tuan/puan saya sekarang tengah mengandung. apa hukum cerai terhadap saya, adakah ia jatuh talak?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, lafaz cerai yang disebut oleh suami adalah jelas dan ia merupakan lafaz cerai yang soreh (صريح). Walaupun ia dilafazkan dalam keadaan suami yang sangat marah tetapi suami masih waras. Sah lafaz cerai ke atas isteri yang sedang mengandung, yang membezakan adalah tempoh iddahnya akan tamat apabila bersalin atau apabila berlaku keguguran. Justeru, puan dan suami perlu menguruskan segera ke Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk membuat pengesahan perceraian tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.