Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum tuan panel, saya ingin bertanyakan kemuskilan saya, saya bakal bernikah tidak lama lagi dengan seorang duda, namun saya sering cemburu melihat bakal suami saya dengan anak gadisnya yg berusia 12 tahun itu. Anaknya adalah anak tidak sah taraf dimana bakal suami saya dengan pasangannya bernikah setelah pasangannya mengandung,anak itu di binti kan Abdullah. Kemusykilan lagi, apakah status bakal suami saya dengan anaknya itu adakah anak kandung? Dan apabila saya bernikah dengan bakal suami saya itu dan jika dikurniakan anak apakah status anak saya nanti dengan anak tidak sah taraf bakal suami saya itu, mohon tuan panel memberi pencerahan kepada saya. sekian terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari; 1. Status bakal suami dengan anaknya adalah bukan anak kandung dari segi syarak, kerana tidak dinasabkan kepadanya sebab statusnya adalah anak tidak sah taraf. (http://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/pewartaan/2005-2009/101-fatwa-tentang-garis-panduan-mengenai-anak-tak-sah-taraf-menurut-hukum-syara) Bakal suami juga tidak boleh menjadi wali kepadanya. Hubungan mereka hanyalah sebagai bapa biologi sahaja. 2. Jika pernikahan saudari dengan bakal suami dikurniakan anak yang berlainan jantina dengan anak tidak sah taraf tersebut, hukumnya adalah bukan mahram. Wajib menutup aurat dan jaga pergaulan apabila telah baligh. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.