Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum memakaikan topi runcing kepada anak ketika majlis sambutan hari lahir tanpa ada upacara meniup lilin, hanya memakai topi, doa selamat, dan menyanyikan lagu selamat hari jadi.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, topi runcing atau dikenali sebagai sanbenito adalah satu tanda berupa pakaian khusus untuk membezakan individu yang telah keluar dari agama Islam semasa pemerintahan Raja Ferdinand dan Ratu Isabela (keduanya penganut Kristian) yang berkuasa di Andalusia ketika itu. Dalam persoalan tuan, kami berpandangan tidak menjadi kesalahan sekiranya memakai topi tersebut, kerana ia bukanlah simbol/pakaian keagamaan khusus kepada Kristian. Namun bagi mengelakkan fitnah atau sebagai tanda menolak kepada peristiwa sanbenito, maka mengelakkan dari memakainya adalah lebih baik. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.