Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Adakah di wajibkan solat dan puasa atas OKU lembap atau masalah pembelajaran.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, ibadah solat dan puasa bagi mereka yang OKU lembam atau masalah pembelajaran adalah wajib mengikut tahap kemampuannya. Firman Allah SWT : Maksudnya : “dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama” (al-Haj : 78) Begitu juga firman Allah SWT : Maksudnya : “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya” (al-Baqarah : 286) Dalam menyampaikan ilmu agama kepada mereka, perlu dilakukan dengan cara yang mudah difahami. Mereka juga masih dikategorikan sebagai mukallaf selagi mana, masih boleh berfikir (berakal) mengikut keupayaannya, memandangkan mereka juga memenuhi rukun dan syarat dalam beribadah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.