Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, begini situasi saya. Kawan saya ingin beli TV. Dia meminta saya untuk membeli TV untuknya. Dia kemudiannya memberi saya wang RM 850. Setelah beberapa jam, dia meminta untuk dikembalikan wang tersebut. Dia ingin membatalkan semula pesanan untuk membeli TV. Saya menipu dia bahawa saya cakap, saya sudah membayar wang itu kepada syarikat barangan tersebut. Hakikatnya, saya belum membayarnya lagi kepada syarikat barangan tersebut. Saya mengatakan kepada kawan saya bahawa syarikat tersebut hanya boleh memulangkan wang tersebut sebanyak RM 650 dan lagi RM 200 itu akan dikembalikan setelah 1 minggu..Saya hanya pulang wang dia semula sebanyak RM 650 dan RM 200 itu saya ambil untuk saya membayar hutang saya..Saya amat terdesak ketika itu untuk membayar hutang saya.. Saya berhasrat untuk memulangkan kembali wang RM 200 yang saya ambil itu setelah saya mendapat gaji saya.. SOALAN: 1)Apakah halal atau haram wang yang saya ambil itu untuk membayar hutang? 2)Adakah selesai hutang tersebut dengan saya membayar menggunakan wang hasil saya ambil dari duit kawan saya itu? 3)Adakah hutang yang saya bayar itu hasil daripada saya mengambil wang kawan saya sebanyak RM 200 itu terlaksana dan menjadi halal , jika saya telah mengembalikan semula wang yang saya ambil dari kawan saya itu setelah saya mendapat gaji saya?.. Saya tidak ada niat nak ambil wang itu..tetapi saya amat terdesak ketika itu.Mohon Penjelasan ustaz..Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan: 1. Wang yang diambil sebanyak RM200 untuk membayar hutang adalah haram kerana ambil tanpa kebenaran pemiliknya, menipu dan tidak amanah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”. (al-Anfaal : 27) Justeru hendaklah bertaubat di atas kesalahan tersebut, kerana perbuatan itu merupakan perbuatan orang munafik, sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA. katanya, Rasulullah SAW bersabda; آية المنافق ثلاث اذا حدث كذب واذا وعد اخلف واذا ائتمن خان Maksudnya : “Tanda-tanda orang munafik ada tiga: Apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mungkir, apabila diberi kepercayaan (amanah) dia khianat”. (Riwayat Muslim) 2. Hutang tersebut selesai dengan pemiutang, tetapi hutang yang diambil dari kawan wajib dijelaskan segera. 3. Hutang yang dibayar menggunakan duit RM200 yang diambil adalah selesai. Adapun, yang menjadi kesalahan dan dosa adalah perbuatan menipu dengan kawan tuan. Jika pada awal lagi tuan berterus terang atau meminjam terlebih dahulu duit untuk membayar hutang kepada kawan yang lain tidaklah menjadi kesalahan. Ini kerana niat tidak menghalalkan cara. Bermakna niat tuan untuk membayar hutang menggunakan duit yang diambil dari kawan tidaklah menghalalkan cara dengan penipuan yang dilakukan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.