Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum menyayangi kawan baik lebih dari ibubapa tapi masih menghormati mereka?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, menyayangi ibubapa dan berbuat baik kepada mereka adalah perintah dari Allah SWT kepada semua anak. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (al-Isra’: 23 – 24) Berbuat baik kepada ibubapa bukan sahaja semasa mereka hidup, tetapi setelah meninggal dunia, seperti mendoakan mereka dan menyantuni rakan-rakan kepada ibubapa. Adapun berbuat baik dengan kawan adalah digalakkan, kerana ia tergolong dalam perbuatan berbuat baik sesama insan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa." (Riwayat Abu Daud) Secara hirarki, keutamaannya adalah kepada ibu bapa sebelum rakan-rakan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.