Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pertanyaan: boleh kah kalau saya buat aqiqah 1 ekor kambing untuk anak lelaki, apakah hukumnya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, adalah dibolehkan dan memadai jika tuan ingin membuat aqiqah bagi anak lelaki dengan seekor kambing. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Ali RA, katanya: عق رسول الله ﷺ عن الحسن بشاة Maksudnya : “Rasulullah SAW mengaqiqahkan al-Hasan seekor kambing” (Riwayat al-Tirmizi) Namun, jika berkemampuan adalah lebih afdhal dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Ini pula berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA, katanya: عن الغلام شاتان متكافئتان وعن الجارية شاة Maksudnya : “Rasulullah SAW menyuruh mereka menyembelih dua ekor kambing yang sepadan bagi aqiqah anak lelaki dan seekor bagi anak perempuan” (Riwayat Abu Daud) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.