BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Apakah hukum jika berkerja sebagai akaun exec di kedai serbanika yang menjual arak contoh 7 eleven? Adakah sumber rezeki itu halal?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 20;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menyebut satu riwayat bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 وإن الخمر حرام وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ

Maksudnya: Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. (Riwayat Ahmad)

Justeru, bagi seorang mukmin hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dengan menghindari diri daripada terlibat dengan apa-apa pekerjaan yang berkaitan dengan arak.

Ini dikuatkan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَه

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya. (Riwayat al-Tirmidzi)

Secara tidak langsung, bekerja sebagai eksekutif akaun di kedai sedemikian adalah terlibat dengan penjualan arak dan pendapatannya juga bercampur-campur dengan hasil jualan arak sebagaimana maksud hadis.  Justeru, berusahalah untuk mencari pekerjaan lain agar tidak berterusan terlibat dengan perkara yang haram.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 249

message user image