Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum suami memuji isteri orang lain tentang tubuh badan dengan kata kata menghairahkan dan memberitahu hasratnya untuk bersamanya dan mendapat sambutan dari pihak lagi satu
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, hukum ke atas suami tersebut adalah haram dan berdosa, kerana ia jelas merupakan antara perbuatan mendekati zina yang dilarang. Firman Allah SWT yang bermaksud: Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Israa : 32) Allah telah mengingatkan kepada kita baik lelaki dan perempuan yang telah berkahwin atau belum agar menjaga pergaulan dan pandangan kepada yang bukan mahram. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka” (an-Nur : 30-31) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.