Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Adakah amalan buruk anak yang masih hidup memberi kesan kepada ibubapa yang sudah meninggal dunia.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, setiap orang yang telah mukallaf adalah dipertanggungjawabkan amalan baik dan buruknya ke atas diri masing-masing. Amalan buruk yang dilakukan seorang anak tidak memberi kesan kepada ibu bapa yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Firman Allah SWT : ولَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ Maksudnya : “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)” (al-An’am : 164) Namun demikian, tanggungjawab mendidik anak adalah kewajipan ibu bapa. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.