Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ada 1 soalan. sekiranya kerajaan negeri menawarkan tanah tapak untuk dibeli atas nama orang yang telah meninggal dunia dan waris si mati telah membelinya adakah itu dikira sebagai harta pusaka simati.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sebagaimana panggilan telefon yang telah dilakukan antara Panel Menjawab Soalan dan pengirim pada 10.9.2019 pada jam 2.45 petang maka isunya adalah tuntutan ke atas tanah yang dibeli atas nama moyang (telah meninggal dunia) dan sebenarnya tanah asal moyang tersebut telah pun diserahkan kepada Kerajaan Negeri serta pampasan pengambil alihan tanah tersebut telah dibahagikan antara waris. Pengirim memaklumkan ibunya telah membeli sebuah tanah yang lain atas nama moyang yang telah meninggal dunia (tahun 1995- polisi ketika itu membenarkan). Oleh itu, waris-waris lain menyangka tanah tersebut adalah tanah moyang dan dikategorikan sebagai harta pusaka serta perlu pembahagian sewajarnya. Berdasarkan kepada permasalah ini, ia bukan harta pusaka milik moyang tersebut kerana pembelian/pengeluaran duit bagi membeli tanah tersebut adalah ibu puan. Hanya penggunaan nama tersebut digunapakai bagi proses pembelian sahaja. Langkah terbaik pihak puan lakukan adalah menukar segera nama moyang kepada nama ibu selagi mana ibu puan masih hidup. Ini adalah bagi mengelakkan kekeliruan dan tuntutan di masa akan datang. Sebagaimana yang telah dimaklumkan, saksi berkaitan pembelian dalam kalangan waris juga masih hidup dan sewajarnya perkara ini tidak menjadi isu. Jika perkara ini masih berlarutan tanpa penyelesaian boleh dipanjangkan kepada Majlis Agama Islam negeri bagi urusan tuntutan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.