Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Tuan, saya berumur 14 tahun dan saya berniat agar saya dapat menjalani ibadat umrah pada tahun ini. Namun saya tidak mempunyai apa apa simpanan untuk umrah. Tetapi saya amat berniat agar saya dapat jejak Tanah Suci tahun ini. Soalan saya jikalau saya menabung dengan umur saya sekarang pasti tak mencukupi. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk selalu bersedekah kerana Rasul bersabda bahawa tidak pernah miskin orang yang bersedekah disamping berdoa kerana Allah berfirman berdoalah nescaya akan aku kabulkan. Pada pendapat Tuan apakah pandangan Tuan tentang masalah saya ini?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, ibadah umrah adalah wajib seperti juga ibadah haji iaitu sekali seumur hidup. Bagaimanapun ia bersyarat iaitu bagi mereka yang mampu. Sebagaimana firman Allah SWT : Maksudnya : “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (ali- Imran : 96) Dengan mengerjakan umrah, tuntutan haji yang menjadi rukun Islam kelima tidak terlepas, tetapi dengan mengerjakan haji, tuntutan ibadah umrah akan tertunai. Berazam dan berusaha untuk mengerjakan umrah, bahkan haji adalah suatu tanggungjawab yang menjadi kewajipan orang Islam. Berusaha untuk mendapatkan wang, mengumpul dengan cara menabung dan bersedekah semuanya perbuatan baik dan terpuji. Tetapi tidak boleh bertawakkal tanpa berusaha. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.