Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya, dalam Islam sabar itu suatu perkara yang amat penting dalam jiwa seseorang mukmin, setiap ujian yang menimpa kita seharusnya lebih baik untuk kita bersabar. Tetapi, jika ada seseorang membuat jahat kepada kita seperti membuli atau menghina, apa yang patut kita buat? Bersabar atau mengambil tindakan? Sebab kalau kita bersabar dan tidak membuat apa-apa kemungkinan orang itu akan semakin berani membuli kita. Apakah yang perlu saya buat ustaz, bersabar atau ambil tindakan, dan saya kurang faham tentang sabar. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, bagi kes membuli atau menghina, mangsa tidak boleh terus bersabar dan berdiam diri. Lebih-lebih lagi ia boleh menyebabkan mangsanya trauma dan mengalami kemurungan serta emosi yang tidak stabil, akibat pembulian yang berterusan. Tindakan perlu diambil dengan membuat laporan terus kepada pihak berkuasa. Jika ia berlaku di peringkat sekolah atau kolej, mesti dilaporkan ke pihak pengurusan sekolah/ kolej untuk tindakan dan siasatan. Perbuatan membuli dan menghina adalah berdosa hukumnya dan dari segi undang-undang, ia merupakan kesalahan mencabuli hak orang lain sewenang-wenangnya. Bagi kesalahan buli atau gangster dalam kalangan pelajar sekolah adalah kesalahan Juvana (berumur 18 tahun dan ke bawah) yang boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Mahkamah Juvana 1947 (Akta 90). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.