Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Tuan, saya ingin bertanya beberapa soalan kepada pihak tuan kerana saya mempunyai beberapa kemusykilan . 1. Adakah menjadi kesalahan jika imam di negeri selangor membaca al quran mengikut qiraat lain iaitu bukan qiraan imam Asim riwayat hafs. 2. Adakah ada bantuan khas untuk orang yang dikelilingi hutang di selangor. 3. Apa hukum jimak dengan isteri yang sedang hamil. 4. Apakah hukum bagi seseorang yang solat walaupun rambutnya diwarnakan. 5. Adakah salah jika orang lain memanggil ana dengan gelaran Tuan walaupun ana tidak mempunyai apa apa hak yang khusus untuk memanggil ana Tuan. 6. Adakah salah jika seseorang berhutang dengan kita tetapi dia tidak membayar dalam waktu yang ditetapkan. Sampai disini sahaja pertanyaan saya setakat ini. Saya harap pihak Tuan dapat menjawab segala persoaalan saya. Saya berharap pihak Tuan dapat membalas emel saya secepat mungkin. Segala kerjasama amat dihargai. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, 1. Tidak menjadi kesalahan, dicadangkan untuk memaklumkan dahulu kepada makmum. 2. Tiada. Bagi mereka yang berhutang, wajiblah melunaskannya sendiri, namun, boleh cuba memohon kepada Lembaga Zakat Selangor jika cukup syaratnya. 3. Harus, dengan syarat tidak membawa kemudharatan pada isteri dan bayi dalam kandungan. 4. Sah solatnya, dengan syarat bahan pewarna rambut itu bukan daripada najis dan tidak menghalang air sampai ke anggota wuduk. 5. Tidak salah. 6. Hutang yang telah ditetapkan tempohnya, wajiblah dibayar dan pemberi hutang wajib menuntutnya. Jika sengaja tidak bayar walaupun mampu, maka berdosa kerana dianggap satu kezaliman. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: مطل الغني ظلم Maksudnya : “Melewatkan pembayaran hutang bagi orang yang kaya adalah perbuatan zalim” (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.