Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pertanyaan: Apa hukum nya kalau Imam tidak melakukan tumakninah semasa bangun dari sujud. Perlukah saya mufarakah . Oleh kerana saya tahu Imam terus solat begini lebih baik solat dirumah dan solat saya insyallah semoga diterima Allah.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, bangun daripada sujud dan duduk sebentar sebelum bangkit untuk rakaat kedua dinamakan sebagai duduk istirahah. Duduk istirahah ialah duduk yang ringkas dan tidak ada sebarang bacaan doa atau zikir yang sunat dibaca ketika duduk itu. Duduk istirahah hukumnya adalah sunat. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Malik bin al-Huwairis al-Laitsi yang menceritakan, “Bahawa beliau melihat Rasulullah SAW menunaikan solat. Ketika baginda berada dalam rakaat yang ganjil dari solatnya, baginda tidak bangun (untuk ke rakaat seterusnya setelah bangkit dari sujud kedua), melainkan setelah duduk terlebih dahulu”. (Riwayat al-Bukhari) Oleh itu, solat tidaklah menjadi batal apabila meninggalkan duduk istirahah tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.