Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam saya ingin bertanyakan mengenai tanggungjawab suami terhadap keluarga iaitu isteri anak ibu dan adik. Kes 1: kami suami isteri duduk sendiri menyewa rumah tetapi pada awal bulan julai suami mengajak ibu serta adik pindah ke rumah kami tanpa berbincang. Tujuan perbincangan suami isteri yang saya maksudkan adalah kerana suami memberi nafkah zahir yang mencukupi untuk menyara isteri anak, suami bukan anak tunggal yang perlu memikul tanggungjawab jaga ibu dan adik sendiri. Dia mempunyai 2 orang adik lelaki dan seorang adik dan akak perempuan yang sudah dewasa dan ada yang sudah berkahwin. Saya cuma meminta suami untuk berbincang sesama adik beradik tetapi suami enggan. Malahan dia meminta saya untuk keluar bekerja bagi membantu kewangan dirumah. Kes 2: suami pernah berkata sekiranya saya tidak boleh menerima ibu dan adiknya tinggal dirumah maka dia sanggup menceraikan saya. Disini saya ingin meminta penjelasan adakah saya yang bersalah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bukanlah menjadi suatu kesalahan apabila puan meminta diadakan perbincangan dalam apa juga bentuk urusan keluarga. Tujuan perbincangan adalah bagi mendapatkan keputusan bersama dalam membantu mengatasi permasalahan yang berlaku. Dalam situasi keluarga puan, walaupun suami bukan anak tunggal mungkin atas rasa tanggungjawabnya sebagai seorang anak dia membuat keputusan membawa ibu dan adik untuk tinggal bersama. Alhamdulillah suami puan mampu memberi nafkah zahir kepada puan sekeluarga dengan baik walaupun membawa ibu dan adik untuk tinggal bersama. Suami masih tidak lupa tanggungjawabnya kepada keluarga. Permintaan suami meminta puan bekerja adalah mungkin pada pandangannya walaupun dia berkemampuan menanggung keluarga sebaiknya, tetapi apabila puan bekerja dapat membantu menambah pendapatan keluarga yang sedia ada. Namun, bukan kewajipan isteri untuk keluar bekerja menanggung keluarga. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.