Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Pada malam Khamis, 8 Ogos 2019, suami saya menghantar mesej di Whatsapp. Saya membukanya pada awal pagi Khamis. Soalan: 1. Adakah jatuh talak ke atas saya? Apakah yang patut saya lakukan. 2. Jika saya tidak mengizinkan beliau berpoligami atas sebab-sebab kemampuan zahir dan batin, dan beliau masih hingga ke hari ini berhubung dengan wanita tersebut, adakah saya juga terpalit dosa? 3. Apakah saya dikira nusyuz jika saya undur diri dan meneruskan perceraian tersebut? 4. Suami saya merahsiakan hubungan tersebut sepanjang 6 bulan. Dalam tempoh tersebut mereka saling menghantar mesej , video dan gambar lucah. Pernikahan tersebut sebagai 1 cara menghalalkan hubungan yang telah terjalin. Adakah ini dibenarkan syarak?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, 1. Sama ada jatuh atau tidak talak berdasarkan mesej di Whatsapp tersebut, akan disahkan oleh Hakim Syarie di Mahkamah Syariah. 2. Urusan kelulusan poligami hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah sama ada suami puan layak atau tidak. Isteri tidak menanggung dosa suami. 3. Nusyuz ialah perbuatan isteri yang ingkar dan tidak taat suaminya dalam perkara yang tidak menyalahi syarak. Isu perceraian ini puan dan suami hendaklah berbincang dan kemukakan perkara ini terus ke Mahkamah Syariah yang berhampiran. 4. Suami dan perempuan tersebut berdosa kerana perbuatan yang dilakukannya itu. Pernikahan adalah salah satu cara menghalalkan hubungan yang sebelumnya diharamkan disebabkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.