Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum seseorang memuat turun video atau filem yang dikeluarkan oleh laman web2 di Internet? Adakah ia dikira mencuri? Kerana ia sama seperti kes cetak rompak tetapi secara digital.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, Islam menjaga hak milik manusia termasuklah hak milik penulisan, rekaan, ciptaan dan hak milik kreativiti. Kita tidak boleh mengambil atau mencuri hak milik orang lain tanpa keizinan atau kerelaannya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Tidak halal harta seseorang muslim melainkan dengan kerelaan hatinya”. (Riwayat al- Daruqutni).
Hak-hak tersebut adalah dikategorikan sebagai harta yang dilihat kepada nilai dan manfaatnya. Ia dinamakan sebagai harta intelek. Bagaimanapun ‘softcopy’ buku, lagu-lagu seperti mp3 al-Quran yang terdapat di laman web yang melalui ‘open link’ tanpa perlu dibeli adalah halal. Akan tetapi jika di ‘download’ melalui ‘hacker’ dengan jalan yang tidak sah maka haram kerana mengambil hak orang lain tanpa kebenaran.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.