BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Ustadz, saya ada 1 soalan berkaitan dengan doa dan bencana. 1. Rasullullah ada cakap, jika kita bersungguh-sungguh doa (Di tempat mustajab, sujud/tasyahud akhir) Allah akan makbulkan doa kita. 2. Rasulullah juga ada cakap, amalan kekal selepas kematian antaranya (anak soleh yang mendoakan untuknya) Kebiasaannya dalam masyarakat kita akan baca al-quran kepada keluarga terdekatnya ketika meninggal dunia sebelum disimpankan. Soalan saya, 1. Apakah ini dibolehkah? Jika dikhabarkan berita kematian ibu/bapa. Kita dirikan solat taubat, solat hajat. 2. Lalu sujud yang lama, tasyahud yang lama untuk doakan keampunan kepada ibu/bapa kita itu. Adakah ini bid'ah? atau tidak lakukan oleh Rasulullah. Sebab saya percaya, waktu ditimpa bencana itu, pasti kita akan berdoa bersungguh-sungguh dan Allah makbulkan. Seperti keampuanan kepada ibu/bapa, angkat seksa kubur buatnya, lapangkan kuburnya, masukkan rohnya dikalangan orang yang beriman?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, doa adalah “otak” bagi segala ibadah. Allah SWT menyukai orang yang sentiasa berdoa dan akan memakbulkan doanya mengikut kehendaknya serta yang terbaik bagi orang yang berdoa. Selain menggalakkan berdoa, Allah SWT juga memberi panduan terbaik untuk berdoa dari segi masa, tempat dan ketikanya. Contohnya dari segi masa iaitu pada 1/3 akhir malam, dari segi tempat ketika berdoa di tempat yang mustajab dan ketika, seperti ketika sujud. Berdoa bagi seorang anak kepada ibu bapa merupakan suatu yang dituntut dalam Islam. Inilah cara berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya”. (Riwayat Muslim) Selain doa, boleh juga dengan melakukan amalan-amalan lain seperti membaca al-Quran, bertahlil, berzikir yang pahalanya ditujukan kepada arwah ibu bapa. Walaupun ada pandangan ia tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW namun, ia adalah hasanah (baik), kerana telah diterima dan menjadi amalan oleh ulama’ muktabar sejak dahulu, dan tidak boleh sama sekali dihukumkan sebagai bid’ah. Perkara ini termasuk dalam perkara khilafiah yang telah difatwakan. Rujukan fatwa : http://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/361-fatwa-menangani-persoalan-bid-ah-dalam-masalah-ikhtilaf-khilaf-perkara-furu Berhubung solat taubat dan solat hajat juga merupakan amalan yang digalakkan, yang tidak perlu dikaitkan dengan kematian. Bagaimanapun, jika kematian itu menjadi penyebab kesedaran kita mendekatkan diri kepada Allah SWT disamping mendoakan kerahmatan dan keampunan ibu bapa kita, ia adalah suatu amal soleh yang terpuji. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 165

message user image