BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum KEMUSYKILAN AGAMA: HUKUM 'SPERM BANKING' BAGI PESAKIT KANSER YANG BERSTATUS BUJANG DAN BAKAL BERKAHWIN Bagi meringkaskan pertanyaan, situasi saya adalah seperti berikut: Saya adalah seorang lelaki dan telah mengikat pertunangan. Baru-baru ini doktor mengesahkan saya menghidap kanser dan perlu menjalani rawatan kemoterapi. Antara risiko yang dihadapi bagi jangka masa panjang apabila menjalani rawatan tersebut adalah ketidaksuburan pada sperma, dan boleh mengakibatkan hilang upaya untuk mendapatkan zuriat pada masa hadapan. Saya bercadang untuk melakukan 'sperm banking' sebelum menjalani rawatan kemoterapi supaya sperma tersebut boleh digunakan apabila telah berkahwin kelak. Soalan saya, adakah pelaksanaan 'sperm banking' bagi masalah seperti saya ini dibenarkan di dalam Islam? Apakah status anak yang dilahirkan nanti boleh dinasabkan kepada saya? Atas segala perhatian, saya terlebih dahulu mengucapkan terima kasih


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudara, 1. Berkenaan dengan “Sperm Banking” hukumnya adalah haram. Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 telah membincangkan Bank Air Mani. Muzakarah telah memutuskan bahawa: i. Mengadakan bank air mani adalah haram dalam Islam. ii. Sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka kerajaan hendaklah bertindak untuk menghapuskannya. iii. Permanian berhadas yang dilakukan kepada manusia adalah haram kecuali jika air mani daripada suami didapati secara muhtaram (yang diluluskan oleh syarak), dibenarkan oleh Islam. iv. Penglibatan doktor pakar atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan bank air mani adalah haram. 2. Anak yang bakal dilahirkan juga tidak boleh dinasabkan kepada saudara. Ini berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-56 yang bersidang pada 7 Mei 2003 telah membincangkan Pencantuman Benih Untuk Mendapatkan Zuriat, bahawa : i. Hukum mencantumkan benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudiannya dibuat pencantuman dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah haram. ii. Hukum mencantumkan benih yang diambil dan dicantumkan dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah harus. Memandangkan saudara belum berkahwin, maka tidak boleh mengeluarkan benih untuk disimpan kemudiannya dibuat pencantuman selepas bernikah, kerana hukumnya adalah haram. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 141

message user image