Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya merujuk kepada perkara di atas dan Fatwa Pemikiran Liberalisme & Pluralisme yang di keluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Neger Selangor bertarikh 17 Julai 2014. Saya ingin bertanya tentang implikasi fatwa tersebut, sekiranya saya ingin berkahwin dengan perempuan yang menjadi anggota pertubuhan Sisters in Islam adakah saya perlu memastikan bakal isteri saya memperbaharui syahadahnya terlebih dahulu sebelum perkahwinan. Dan adakah saya boleh memakan makanan/sembelihan yang dilakukan oleh anggota pertubuhan ini?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, berdasarkan kepada fatwa yang diwartakan, orang yang beramal dengan fahaman liberal, dihukumkan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Bagaimanapun, mereka masih lagi seorang Islam, kerana hanya Mahkamah Tinggi Syariah yang berbidang kuasa menentukan agama seseorang (Seksyen 61 (3) (b) (x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003). Oleh itu, perkahwinan boleh dijalankan dan menjadi amalan kebiasaan sebelum suatu acara akad nikah dijalankan pihak-pihak berkaitan wali, pengantin dan saksi dikehendaki sama-sama bersyahadah (memperbaharui syahadah) bagi memurnikan pegangan aqidahnya. Walau bagaimanapun, saudara dinasihatkan supaya istiqamah dalam pendirian beragama berdasarkan pegangan ahli sunnah wal jamaah dari segi aqidah, ibadah dan akhlak, serta bimbinglah pasangan saudara untuk keluar daripada fahaman liberal tersebut. Jika saudara tidak ada kemampuan, sebaiknya difikirkan semula sebelum ia menjadi lebih rumit lagi, bukan sahaja dari segi amalan agama, tetapi kehidupan berumahtangga. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.