Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Berdosa kah suami tak bagi nafkah pada isteri? Cerita nya begini. Gaji suami hanya cukup bayar hutang rumah dan kereta suami ingin menjual kereta tetapi isteri berkeras tidak bagi jual. Bagaimana hendak selesai kan masalah ini. Adakah suami patut jual kereta tu atau turut kan kehendak isteri agar tidak menjual?
Jawapan
Nafkah bermaksud, tanggungan perbelanjaan untuk menyara kehidupan ahli keluarga dengan makanan, pakaian, tempat tinggal dan perbelanjaan yang lain-lain. Oleh itu ia jelas bahawa kewajipan nafkah kepada isteri perlulah dipenuhi oleh suami. Setelah suami memberikan nafkah tersebut maka suami telah menunaikan kewajipannya. Adapun wang poket isteri tidaklah menjadi kewajipan suami utuk memberinya. Akan tetapi, sekiranya suami tidak berkemampuan untuk memberi lebih selain daripada perkara yang telah ditetapkan adalah lebih baik diadakan perbincangan antara suami dan isteri. Bincangkan berkenaan dengan status kewangan yang sedia ada dan perkara-perkara keperluan yang lain termasuklah isu penjualan kereta tersebut, jika ia merupakan jalan terbaik atau sebaliknya. Ini bukanlah bertujuan untuk suami meraih simpati, akan tetapi supaya masing-masing sama-sama mengerti. Mungkin boleh diselitkan dengan langkah-langkah penjimatan yang dirancang. Wujudkan suasana toleransi di antara pasangan. InsyaAllah semoga terbit perasaan mahabbah antara kalian berdua. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.