BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Tuan, Saya bekerja di bahagian logistik/import eksport barang. Saya baru bekerja selama 6 bulan di syarikat ini. Saya mempunyai satu kemusykilan. di mana baru-baru ini saya mendapat tahu bahawa syarikat saya ada membuat penghantaran untuk Genting shipment, menghantar machine slot (mesin judi). Tetapi Genting shipment hanya akan dibuat untuk musim tertentu sahaja. Tetapi syarikat ini mempunyai pelanggan yang ramai, syarikat ini juga import eksport buah-buahan, bunga, ubat-ubat, pakaian dan berbagai lagi jenis barang yang diimport. Pada pendapat tuan, adakah pekerjaan saya ini sama seperti bekerja di 7 eleven yang menjual arak di premis mereka? atau bagaimana ya? Saya menjadi risau kerana dengan duit gaji saya, adakah saya perlu membersihkan gaji saya? buat masa ini saya sedang mencari kerja yang lain kerana saya risau dengan status saya bekerja di sini. Diharap pihak tuan dapat memberikan nasihat untuk saya apakah yang saya perlu lakukan dan apakah hukumnya bekerja di syarikat logistik seperti ini?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (al-Maaidah : 90) Ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa judi adalah dilarang dan mestilah dijauhi, sekalipun saudari tidak terlibat secara langsung, tetapi telah diketahui bahawa syarikat tersebut turut menguruskan perkara yang haram (mesin judi). Membantu perbuatan dosa adalah berdosa. Kesimpulannya, walaupun bekerja di syarikat logistik yang menjalankan import/ eksport barangan yang pelbagai termasuklah mesin judi, ia menjadi syubhah. Adalah dinasihatkan agar mencari pekerjaan lain yang tiada sebarang syubhah kerana lebih menenangkan jiwa. Berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada al-Nu’man Ibnu Bashir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas. Bagaimanapun di antara keduanya terdapat perkara yang tidak jelas (syubhah), yang mana ramai orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang memelihara dirinya dari perkara syubhah, maka dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya”. (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 163

message user image