Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Adakah dosa atau perbuatan buruk kita boleh menyebabkan roh arwah ahli keluarga (cth: ibubapa, isteri) terseksa di Barzakh? Apakah roh boleh melihat kehidupan ahli keluarga yang masih hidup?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, perbuatan buruk seseorang tidak menyebabkan ibu bapanya tersiksa diakhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.” (Faatir : 18) Bagaimanapun, jika disebabkan kecuaian, tidak melaksanakan tanggungjawab yang menjadi amanahnya, ia boleh menjadi sebab disiksa oleh Allah SWT. Persoalan tentang roh, ia tidak dapat dipastikan kerana roh adalah persoalan Allah SWT. وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا Maksudnya : “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja". (al-Israa' : 85) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.