Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum WBT. Saya ada pertanyaan buat pihak tuan, saya berasa ragu dengan cara solat yang betul berkenaan duduk sebentar selepas sujud. Saya selalu memerhatikan setiap kali selepas seseorang sujud mereka akan duduk sebentar sebelum berdiri untuk rakaat seterusnya.(kecuali semasa bacaan tahiyat). Saya tertanya-tanya, sahkah solat itu jika kita terus berdiri tanpa perlu duduk sebentar selepas sujud. Mohon pencerahan dari pihak tuan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bangun daripada sujud dan duduk sebentar sebelum bangkit untuk rakaat kedua dinamakan sebagai duduk istirahah. Duduk istirahah ialah duduk yang ringkas dan tidak ada sebarang bacaan doa atau zikir yang sunat dibaca ketika duduk itu. Duduk istirahah hukumnya adalah sunat. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Malik bin al-Huwairis al-Laitsi yang menceritakan, “Bahawa beliau melihat Rasulullah SAW menunaikan solat. Ketika baginda berada dalam rakaat yang ganjil dari solatnya, baginda tidak bangun (untuk ke rakaat seterusnya setelah bangkit dari sujud kedua), melainkan setelah duduk terlebih dahulu”. (Riwayat al-Bukhari) Oleh itu, solat tidaklah menjadi batal apabila tidak melakukan duduk istirahah tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.