BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Saya ingin mencari sedikit pencerahan dari pihak tuan mengenai 2 perkara,iaitu: 1)syarat solat jamak dan cara melakukannya 2)masalah keputihan wanita dan kesannya ke atas solat 1)Terdapat banyak pendapat yang saya baca mengenai solat jamak. Ada yang mengatakan kita boleh melakukannya ketika sampai di destinasi, ada yang membenarkan kita melakukan 3 hari dan ada yang mengatakan kita hanya boleh melakukan solat jamak hanya ketika perjalanan sahaja. Sebagai contoh, apabila saya hendak ke korea, adakah saya masih boleh melakukan solat jamak ketika tiba di sana(selama seminggu tempoh percutian saya)? 2)Saya mempunyai masalah keputihan dan angin yang keluar dari faraj. Apakah yang dimaksudkan dengan keputihan yang membatalkan solat? adakah faraj perlu berada dalam keadaan kering sentiasa? sekiranya basah/lembap dan bukannya mengeluarkan lendir adakah dikira sebagai keputihan dan membatalkan solat? Bagaimana pula dengan angin yang keluar dari faraj? ia bukannya sengaja dan adakah ia dikira sebagai perkara yang membatalkan solat?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan; 1. Oleh kerana percutian puan selama seminggu di sana, maka tidak boleh melakukan solat jamak kerana telah lebih tiga hari, maka ia dikira sebagai bermukim. 2. Keputihan yang membatalkan solat adalah lendiran wadi dan mazi. Ia merupakan najis. Adapun, faraj juga dilembapkan oleh air pelembap yang bukan lendir. Ia keluar daripada sel-sel dinding epithelium, sel ini tidak mempunyai kelenjar. Justeru, ia bukanlah najis. Berkenaan angin yang keluar dari faraj, pertamanya perlu dipastikan sama ada angin atau bunyi yang keluar itu benar-benar dari dalam lubang faraj atau dari kelopak faraj. Jika angin yang berbunyi berada di kelopak faraj, tidak membatalkan wuduk. Tetapi, jika diyakini angin yang keluar itu dari lubang faraj, maka ia membatalkan wuduk. Jika puan sendiri yakin angin yang keluar adalah dari dalam lubang faraj, maka tiada keringanan bagi kes puan kerana ia membatalkan wuduk dan solat. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA., bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لا فَلا يَخْرُجَنَّ مِنَ الْمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا Maksudnya : “Jika seseorang diantara kamu mendapati ada sesuatu di dalam perutnya, samada sesuatu yang keluar dari perutnya atau tidak, maka janganlah keluar daripada masjid, sehinggalah ia mendengar bunyi atau keluarnya angin” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 209

message user image