Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. saya Ruzain Syukur Mansor, Atase Pendidikan Bimbingan Agama bagi pelajar Malaysia di United Kingdom. Saya menerima soalan ini daripada pelajar dan pensyarah di sini yang akan menjalani peperiksaan dalam bulan Ramadhan yang dijangka tahun ini selama 19 jam. Soalannya: sama ada seorang pelajar itu dibolehkan tidak berpuasa sekiranya dia berasa ianya akan menjejaskan peperiksaannya (dan menggantikan puasa tersebut sebelum Ramadhan seterusnya). The European Council for Fatwa and Research pada 13 April 2016 telah membuat ketetapan berikut: The ruling of breaking the fast for those students whose concentration during exams is affected by fasting. The committee relied upon the verdict of the European Council for Fatwa and Research on this issue (Fatwa 6/25), which states: ‘’If due to the long hours of fasting in Ramadan, the student fears that he will be caused severe exhaustion and hardship, and that fasting will affect his concentration in performing the exam, and he is not able to delay this exam, then he is permitted to break his fast in order to push away such hardship. He is then required to make up the missed fasts later. In the words of Allah: ‘’Allah wants ease for you, and He does not want hardship’’ (Surat al-Baqarah: 185) Justeru, mohon jasa baik penjelasan di pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, pensyariatan ibadah puasa telah bermula pada Tahun Kedua Hijrah. Umat Nabi Muhammad SAW terdahulu telah melaksanakannya walau dimana jua mereka berada. Firman Allah SWT : Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah : 183) Tiada bezanya dengan hari ini, umat Islam di seluruh dunia juga menunaikan ibadah puasa mengikut tempoh yang berbeza diantara satu sama lain, malah ada yang lebih dari 19 jam berpuasa. Oleh yang demikian, adalah dinasihatkan dan dicadangkan supaya bagi pelajar dan pensyarah yang akan berpuasa selama 19 jam dalam keadaan menghadapi peperiksaan, mereka hendaklah berusaha dahulu melaksanakan puasa mengikut kemampuannya. Jika tidak berkemampuan atau jika diteruskan puasa tersebut akan membawa kemudharatan kepada dirinya, hendaklah mereka berbuka, dan digantikan puasanya pada hari yang lain. Sebagaimana firman Allah SWT: Maksudnya ; (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (al-Baqarah : 184) Mudah-mudahan amalan berpuasa dengan penuh keimanan dalam tempoh peperiksaan yang dijalankan akan lebih mendapat keberkatan, ganjaran dan dipermudahkan segala urusannya oleh Allah SWT. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : وعنْ أَبي هُرَيرةَ رضيَ اللَّه عنهُ ، عن النَّبِيِّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قالَ : « مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَاناً واحْتِساباً ، غُفِرَ لَهُ ما تَقَدَّمَ مِنْ ذنْبِهِ » متفقٌ عليه . Maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.