Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum, Adakah saya berdosa membenci suami yang mempunyai masalah memuaskan hubungan . Sekarang saya dalam proses mencari rumah. dari segi hukum adakah saya patut melakukannya. Walaupun dia seorang yang baik, sejujurnya saya rasa kecewa dan tidak ada sayang lagi pada dia. Setiap kali selepas melakukan hubungan, semakin rasa benci pada dia terutama dia langsung tidak rasa bersalah . Saya melakukan solat kerana ia adalah wajib tapi saya rasakan solat saya itu tidak ada makna kerana saya rasa dosa membenci suami. Masalah ini berlarutan semenjak mula perkahwinan 2005. 4 tahun lepas saya pernah berbincang dengan keluarga, tapi mereka minta saya pertahankan perkahwinan dan dalam masa yang sama suami berjanji akan berikhtiar memulihkan keadaan. Tapi semua adalah hanya janji-janji kosong. tiada apa pun yang dia usahakan dan perkara sama masih berulang. Saya betul-betul tidak tahu apa yang patut saya lakukan selain menjauhkan diri dari dia.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, dalam sebuah perkahwinan membenci suami adalah suatu perkara yang tidak wajar berlaku. Mencari dan tinggal berasingan antara suami isteri juga merupakan tindakan yang tidak sepatutnya. Ini berbeza sekiranya pasangan memang tinggal di tempat yang jauh antara satu sama lain atas sebab pekerjaan, tugasan atau disebabkan menyambung pengajian. Mungkin puan perlu bersama-sama suami dalam membantu mengatasi masalah yang dihadapinya dalam isu hubungan bersama suami isteri. Ada sebahagian lelaki mengambil ringan tentang masalah yang dihadapinya, tetapi apabila puan menunjukkan kesungguhan untuk bersama-samanya dalam berhadapan dengan masalah tersebut, suami juga akan sama-sama berusaha untuk membantu dirinya sendiri. Adalah disarankan juga puan dan suami berjumpa dan mendapatkan khidmat nasihat daripada mana-mana pihak yang berautoriti seperti Pejabat Agama Islam Daerah bagi membantu mengatasi masalah yang dihadapi. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.