Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum saya ingin bertanya satu soalan. dalam bulan asyura, sunat berpuasa pada berapa haribulan dan berapa hari yang sunat berpuasa? Sebab saya berpuasa pada 10 muharam sahaja
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, puasa Asyura’ merupakan amalan berpuasa yang dilaksanakan pada 10 Muharram dan ia termasuk di dalam kategori puasa-puasa sunat yang amat digalakkan. Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA, yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW datang ke Madinah dan mendapati orang Yahudi sedang berpuasa pada hari Asyura’. Lalu Nabi SAW berkata kepada mereka: Mengapakah kamu berpuasa pada hari ini? Mereka menjawab: Hari ini adalah hari yang agung di mana Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya serta Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda syukur. Disebabkan itu kami pun turut berpuasa. Maka Nabi SAW bersabda: Kami lebih berhak dan utama mengikut Nabi Musa AS berbanding kamu. Dengan itu, Rasulullah SAW berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.” (Riwayat Muslim) Namun sebaiknya berpuasa Asyura’ dilaksanakan bersekali sebelum atau selepas 10hb Muharram iaitu sama ada dengan 9hb atau dengan 11hb Muharram, bagi membezakan puasa yang dilaksanakan oleh kaum yahudi, sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA: صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا Maksudnya: “Berpuasalah pada hari Asyura’ dan berselisihlah padanya dengan orang-orang Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” (Riwayat Ahmad) Kesimpulannya, sunat berpuasa Asyura adalah setiap 10hb Muharram tetapi adalah lebih baik membezakan amalan dengan kaum Yahudi. Sebagaimana keazaman Nabi Muhammad SAW ketika Baginda yang berazam untuk berpuasa dan menambah puasa pada 9 Muharram. Akan tetapi, Baginda SAW tidak sempat melakukannya kerana telah wafat. Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan, maka aku akan berpuasa pada hari ke-9 (9 Muharram).” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.