Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam Saya ada persoalan untuk diajukan. Saya dan suami sudah 3 tahun berkahwin. Dia seorg yang tidak pernah mengabaikan nafkah zahir untuk saya dan anak. Masalah sekarang, sejak saya mengandung sampai sekarang (anak saya sudah berusia 2tahun6bulan), suami saya tidak pernah 'menyentuh' saya. Hubungan kami semakin hari semakin suram. Sampaikan kami hanya bercakap benda yang penting sahaja. Saya pernah tanya kepada dia tapi jawapan dia, dia tidak tahu macam mana ingin memulakan semula hubungan ini. Masa bulan puasa yang lepas, saya ada terbuka telefon suami. Kebetulan masa itu memang terpampang aplikasi WeChat. Saya terbaca bualan suami dengan beberapa lelaki lain yang berunsur lucah. Saya tanya kepada dia tetapi dia cakap itu hanya suka-suka dan WeChat itu sudah lama padahal wechat tu masa bulan april. Saya makin hilang kepercayaan kepada suami. Sepanjang kahwin kami tidak pernah sembahyang berjemaah. Bila ditanya, dia cakap tidak bersedia. Saya tidak tahu ingin mengadu dengan siapa sebab mahu menjaga aib suami. Masalahnya saya tertekan sekarang. Apa yang patut saya lakukan. #suami saya seorang yang sangat baik kepada ibunya dan anak kami Mohon pencerahan. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, adalah dicadangkan puan berbincang secara baik dengan suami untuk perbaiki kehidupan berumahtangga. Tindakan suami yang tidak menyentuh isteri dalam tempoh yang sangat lama merupakan suatu perkara yang di luar kebiasaan pasangan suami isteri. Mungkin suami mempunyai masalah yang dipendam dan tidak memaklumkan kepada puan. Tindakan puan menjaga aib serta maruah suami merupakan tindakan terpuji dalam Islam. Bagaimanapun, sekiranya perkara tersebut memberi tekanan dan mendatangkan masalah besar dalam kehidupan rumahtangga puan, tidaklah menjadi kesalahan untuk puan berbincang atau mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak berkepakaran yang amanah dan dipercayai bagi membantu puan suami isteri. Mudah-mudahan ada cara jalan dan ruang-ruang penyelesaian. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.