Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, Saya ada kemusykilan berkenaan mendengar khutbah jumaat. Setiap kali jumaat ketika khutbah mesti saya tertidur. Tertidur bukan saya sengaja tapi macam "microsleep". Dah guna cara ubah tempat duduk tetapi tetap tertidur juga. Memang saya dah lawan mengantuk itu tetapi tetap tertidur. Kebiasaan sebelum khutbah dan azan akan ada tazkirah/ceramah pendek oleh ustaz. Ketika itu, memang saya akan rasa segar bugar tetapi masuknya azan kedua saya akan mula mengantuk. Apakah status ibadah saya iaitu mendengar khutbah ini?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, khutbah Jumaat yang disampaikan sebelum mendirikan solat Jumaat adalah satu peringatan kepada semua jemaah yang hadir. Adalah menjadi kewajipan ke atas setiap lelaki muslim untuk mendengar dan memberi tumpuan serta perhatian yang sepenuhnya ketika khatib sedang menyampaikan khutbah tersebut. Menurut hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kamu berkata-kata kepada sahabatmu pada hari Jumaat, walau dengan perkataan diam sekali pun, ketika khatib sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).” (Riwayat al-Bukhari) Hadis ini jelas memberitahu kepada kita bahawa pentingnya mendengar dan menumpukan perhatian kepada khutbah yang disampaikan oleh khatib. Teruskan berusaha dan mencari penyelesaian kepada masalah tertidur ketika khutbah dengan berjumpa pakar kesihatan untuk mendapatkan pandangan dari sudut perubatan. Ini kerana perbuatan yang berlarutan dan berulang setiap minggu bukanlah sesuatu yang boleh dikategorikan sebagai tidak sengaja. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.