Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pertanyaan: PERTANYAAN BERKAITAN SIMPANAN TABUNG HAJI Assalammualaikum Tuan, Merujuk kepada perkara di atas, saya mempunyai satu pertanyaan dan berharap pihak tuan dapat memberikan penjelasan terhadap persoalan saya seperti berikut : Seorang anak berniat hendak membawa ibunya pergi menunaikan Fardhu Haji dan telah membuat potongan ke akaun tabung haji milik ibunya. tetapi hajatnyanya tidak terlaksana dan ibunya telah meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji. Persoalan saya sekarang ialah : 1. Apakah hukum keatas duit simpanan yang telah dibuat oleh anak itu? 2. Simpanan itu perlukah di faraidkan kepada waris-waris yang layak atau anak itu boleh mengambil semula wang simpanan itu ? 3. Bolehkah anak itu meminta semula duit simpanan itu dengan alasan ingin membuat badal Haji untuk Ibunya dan membuat urusan wakaf-wakaf yang lain. 4. Bagaimana pula dengan niat anak yang ingin membawa ibunya pergi menunaikan Fardhu haji itu? Diharap pihak tuan dapat memberikan penjelasan kepada saya dan kerjasama dari pihak tuan sangatlah saya harapkan dan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan; 1. Duit simpanan yang diberi kepada ibu adalah menjadi hak milik ibu. Niat baik anak tersebut itu akan diterima sebagai kebaikan oleh Allah SWT, sebagaimana firmanNya : وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ Maksudnya : “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Luqman : 14) 2. Jika potongan bulanan itu diniatkan sebagai pemberian kepada ibu, maka duit simpanan itu adalah menjadi milik ibu. Oleh kerana simpanan itu telah diniatkan untuk kegunaan ibu mengerjakan haji, maka gunakanlah duit itu untuk upah badal haji ibu. 3. Oleh kerana pemberian itu sudah menjadi milik ibu, maka ia sudah menjadi harta pusaka, iaitu jika ada lebihan dari perbelanjaan badal hajinya atau pun tanggungan-tanggungan yang lain seperti fidyah puasanya atau hutangnya yang belum dibayar, perlulah diselesaikan. Jika masih ada lebihan, harta pusaka tersebut wajib difaraidkan, kecuali jika ada persetujuan semua anak-anaknya untuk diwakafkan atas nama ibu. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.