BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Ustaz/ Ustazah. Terima Kasih kerana menyediakan ruangan yang terlalu bernilai untuk orang seperti saya, sekurangnya saya ada tempat untuk bertanya. Saya harap identiti saya dirahsiakan kerana ingin menjaga nama baik sesiapa yang terlibat dalam kemusykilan saya ini. Soalan saya: Saya sudah berkahwin, dan tinggal di Ampang bersama suami, tidak bekerja hanya surirumah sepenuh masa, keluarga saya di Kuala Terengganu. Kami suami isteri tiada apa-apa masalah dan sentiasa berbincang untuk apa-apa kepastian tentang rumahtangga kami, termasuklah kemusykilan saya yang satu ini. Tentang "Menziarah ibu ayah di kampung" .Kami berbincang untuk menziarahi ibu ayah saya 3 bulan sekali kerana saya memahami keadaan suami yang bekerja dengan gaji hanya Rm2000 sebulan, tetapi ibu saya seperti tidak memahami keadaan kami dan sentiasa membandingkan kehidupan kami dengan orang lain yang berkemampuan untuk pulang ke kampung seminggu sekali, ibu disana tinggal bersama ayah dan beberapa orang lagi adik, total kos untuk pulang kesana terlalu tinggi termasuklah tol dan minyak. Ada satu ketika ibu terlalu marah dan memberitahu saya untuk tinggalkan suami kerana masalah ini. Adakah saya berdosa Ustaz/ Ustazah kerana tidak menuruti perintah ibu sedangkan sebelom kahwin saya seorang anak yang mendengar segala suruhannya. Apakah solusi terbaik untuk saya? Dan apakah tindakan terbaik untuk saya lakukan sebagai seorang isteri dan juga anak. Terima kasih


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, 1. Puan tidaklah berdosa jika tidak menuruti kehendak ibu untuk meninggalkan suami, kerana perintah itu boleh merosakkan perkahwinan dan dilarang oleh syarak. Lebih-lebih lagi keutamaan ketaatan seorang wanita yang sudah bersuami adalah kepada suaminya. Terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda; ليس منا من خبب امرأة على زوجها او عبدا على سيده Maksudnya : Bukan di kalangan kami (umat Nabi Muhammad SAW) orang yang merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya, atau hamba dengan tuannya”. (Riwayat Abu Daud) 2. Antara solusi dan tindakan yang boleh dilakukan ialah : i. Kerap berhubung dan bertanya khabar melalui medium telekomunikasi sedia ada bagi mengeratkan hubungan ibu dan anak yang berjauhan, agar ibu tidak terasa hati kerana tidak kerap pulang ke kampung. ii. Jika berkemampuan dan ingin menjimatkan kewangan, boleh pulang ke kampung menaiki kenderaan awam. iii. Walaupun tidak kerap pulang, berbaktilah dengan mengirim wang (bank in) duit untuk perbelanjaan ibu bapa dikampung. iv. Jika tidak dapat pulang, pelawalah pula ibu bapa datang ke rumah, dan bawa mereka berjalan di Ampang. v. Jika urusan kewangan menjadi isu, puan boleh membuat kerja yang dapat menjana pendapatan bagi membantu ekonomi keluarga yang boleh dilakukan di rumah atau keluar rumah dengan izin suami. Disamping itu sentiasalah berdoa agar ibu bapa dilembutkan hatinya dan tidak mudah marah. Mintalah ibu doakan puan sekeluarga dimurahkan rezeki agar dapat kerap pulang ke kampung. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 139

message user image