Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalam. Saya anak bongsu yang rapat sangat dengan mak ayah. Saya baru kahwin bulan 2. Suami seorang pendiam dan susah bergaul menjadikan dia susah rapat dengan keluarga saya. Tiap kali saya berkunjung ke rumah keluarga, dia mesti menolak untuk ikut. setiap kali saya ke rumah keluarga, dia akan bermasam muka dan marah bila setiap minggu saya mahu ke sana. Rumah saya dan keluarga tidak jauh. Dalam 20 minit sahaja. Semalam suami kemalangan. Ayah saya kerja di johor. Dia balik ke kajang semata-mata ingin berjumpa menantunya. Tetapi suami saya menolak untuk berjumpa. Dan mengarahkan saya untuk menghalang mereka datang ke rumah saya. Saya marah saya cakap kalau diberi pilihan saya akan pilih mereka dan bukannya suami saya. Saya rindukan keluarga saya dan mahukan hidup saya sebelum kahwin. Saya tidak sanggup lihat mak bersedih sebab saya anaknya yang paling rapat. Tolong saya untuk selesaikan masalah ni. Haruskah saya minta cerai?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, tempoh perkahwinan antara puan dan suami masih sangat baharu, masih lagi dalam proses penyesuaian dan memahami antara satu sama lain. Puan perlu banyak bersabar dalam mengharungi kehidupan berumahtangga. Mungkin ada sebab kenapa suami tidak begitu gembira apabila puan terlalu kerap pulang ke rumah ibu bapa puan. Adalah dicadangkan puan dan suami mendapatkan khidmat nasihat kekeluargaan daripada pihak-pihak yang berautoriti dan berkepakaran dalam hal ini seperti di unit Undang-undang Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah, sebelum membuat keputusan untuk bercerai. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.