Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apa hukumnya jika seorang isteri mengetahui suaminya telah berzina dengan pelacur, dan suaminya juga mengaku telah melakukan zina. Selepas itu suami ingin bertaubat dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Adakah isteri boleh menuntut cerai atau memaafkan suami tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bagi kes ini isteri tersebut boleh membuat keputusan sama ada untuk terus kekal menjadi isteri kepada suaminya yang telah bertaubat nasuha dan tidak mengulangi perbuatan zinanya, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal”. (Ali’Imran ayat 135 – 136) Atau isteri memohon fasakh di atas perbuatan suami yang telah hidup berperangai keji mengikut pandangan syarak. Firman Allah SWT: Maksudnya : “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)” (al-Israa’ : 32) Jika isteri mengambil keputusan untuk terus kekal dalam perkahwinannya, adalah dinasihatkan supaya suami tersebut menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian saringan bagi mengelakkan jangkitan penyakit kelamin akibat perbuatan zinanya. Dan isteri tersebut hendaklah sentiasa memberi nasihat kepada suaminya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.