Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Dato’. Saya mempunyai satu kemusykilan agama yang saya tidak dapat rungkaikan sehingga kini mengenai hukum orang meninggalkan solat. Sebelum itu, saya ingin menyatakan bahawa tujuan saya bertanya ini bukanlah untuk meringankan-ringankan ibadah solat, tetapi semata-mata untuk mencari jawapan kepada kemusykilan saya tersebut. Begini Dato’, Saya ada terbaca satu penulisan yang menyatakan bahawa : Orang yang meninggalkan solat secara keseluruhan (iaitu tidak pernah solat seumur hidupnya) telah menjadi kafir. Dikatakan bahawa kalau seseorang itu kadang-kadang mengerjakan solat dan kadang-kadang tidak mengerjakan solat, maka dia tidak kafir. Yang menjadi kafir adalah apabila seseorang itu tidak pernah mengerjakan solat seumur hidupnya. Pendapat di atas telah menyebabkan saya menjadi keliru kerana ia bertentangan dengan pegangan saya selama ini. Pegangan saya selama ini adalah : Orang yang meninggalkan solat (walaupun dia tidak pernah solat seumur hidupnya) tidak menjadi kafir selagi dia tidak menolak kewajipan solat. Pertanyaan saya : Adakah pegangan saya selama ini iaitu "orang yang meninggalkan solat (walaupun dia tidak pernah solat seumur hidupnya) tidak menjadi kafir selagi dia tidak menolak kewajipan solat" adalah pegangan yang salah? Pegangan saya ini berdasarkan mazhab apa dan adakah pegangan saya ini menjadi pegangan majoriti umat islam di Malaysia? Pohon pencerahan daripada Dato’ jua.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abi Sufyan katanya: سَمِعْتُ جَابِرًا ، يَقُولُ : سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ Maksudnya : “Saya mendengar Jabir berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya perbezaan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir, iaitu meninggalkan solat.” (Riwayat Muslim) Bagaimanapun, orang yang meninggalkan solat, sedangkan ia berpegang bahawa solat itu wajib, ia tidaklah jadi kafir, kecuali ia beriktikad bahawa solat itu tidak wajib. Inilah pegangan ahli sunnah wal jamaah. Ia setakat berdosa, tetapi tidak jadi kafir. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.