Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Ibadat semasa disihir sehingga gila. Saya ingin bertanya tentang bagaimana amalan saya sewaktu disihir dari segi seksual dan hampir gila. Adakah saya masih diwajibkan solat. Saya masih lagi dibawah pengawasan ubat dan doktor walaupun dibawah separu sedar, masih sakit di bahagian kepala dan beberapa anggota badan yang melibatkan gangguan seksual (disihir dengan kuat )
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, bagi ibadah solat, ia masih tertangung kepada saudari selagi masih mampu berfikir dengan waras dan berupaya untuk mendirikan solat mengikut kemampuan ketika sakit. Ini kerana syarat wajib solat adalah Islam, baligh dan berakal. Walaupun dalam keadaan sakit, saudari boleh dapatkan bantuan ahli keluarga untuk berwuduk dan menunaikan solat. Kedudukan solat bagi orang yang sakit boleh dilakukan mengikut kemampuan sendiri sama ada solat secara berdiri, duduk, solat secara mengiring atau berbaring dengan menggunakan isyarat mata. Ini adalah berdasarkan hadis daripada Imran bin Husain RA katanya, aku menghidap penyakit buasir, lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat, Baginda bersabda: صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.” (Riwayat al-Bukhari) (Rujukan Garis Panduan Ibadah Solat Pesakit – JAKIM : http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/panduan_bersuci_dan_bersolat_bagi_pesakit.pdf ) Semoga dengan terus istiqomah mendirikan solat walaupun dalam keadaan sakit akan dapat menghindarkan diri daripada gangguan yang dialami, insya-Allah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.