Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Bagaimanakah ingin menyelesaikan masalah tentang beli barang menggunakan wang yang dicuri? masa muda saya jahil saya curi duit datuk saya dengan kadar yang banyak untuk beli helmet berharga ribuan. sekarang ini datuk saya sudah meninggal dunia dan barang masih dengan saya. tetapi nenek saya masih ada. bagaimana saya boleh selesaikan masalah ini? mohon dijawab. Asalamualaikum
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, alhamdulillah saudara sedar di atas perbuatan masa lalu tersebut. Urusan jual beli helmet yang dilakukan itu adalah sah. Adapun, saudara berdosa kerana membelinya menggunakan duit yang dicuri. Justeru, saudara hendaklah bertaubat di atas kesalahan yang dilakukan itu. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal”. (Ali’Imran ayat 135 – 136) Seterusnya, saudara hendaklah memulangkan semula duit yang telah dicuri kepada warisnya (nenek yang masih ada). Mudah-mudahan Allah SWT menerima taubat hamba-hambanya yang ikhlas dan tidak lagi melakukan dosa tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.