Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, ustaz saya ada beberapa soalan dan kemusykilan. saya ingin bertanya tentang pandangan ustaz, saya baru bekerja di kilang minyak ini hampir 2 bulan lebih, di syarikat ini terdapat beberapa isu seperti menjual minyak paket di dalam botol, seperti yang kita ketahui, kualiti minyak paket adalah lebih murah dari kualiti minyak botol. apakah hukum nya menjual minyak paket yang dimasukkan dalam botol dan dijual dengan harga botol. sekian, harap maklum balas
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, hukum menipu harga dan kualiti minyak paket yang dimasukkan ke dalam botol dengan niat (sengaja) untuk menipu pelanggan adalah haram dan perbuatan itu wajib dijauhi, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA : أن رسول الله ﷺ مر على صبرة طعام فأدخل يده فيها فنالت أصابعه بللا فقال : " ما هذا يا صاحب الطعام ؟ قال : أصابته السماء يا رسول الله . قال : أفلا جعلته فوق الطعام حتى يراه الناس ، من غش فليس مني " Maksudnya : “Bahawa Rasulullah SAW telah melalui setimbunan makanan yang dijual seraya memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah SAW bersabda : “Apakah semua ini wahai pemilik makanan?. Lelaki itu menjawab, “Makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW”. Rasulullah SAW bersabda : “Kenapa kamu tidak jadikan yang basah itu disebelah atas agar manusia dapat melihatnya, barangsiapa yang menipu maka ia bukan dari kalangan umatku”. (Riwayat Muslim) Apa jua urusan perniagan yang terdapat unsur penipuan, manipulasi hukumnya adalah haram dan berdosa. Dari segi undang-undang negara, sebagai pekerja, tuan bolehlah melaporkannya kepada Kementerian Perdangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui talian bebas tol : 1-800-886-800 atau melalui system e-Aduan: http://e-aduan.kpdnhep.gov.my/, agar disiasat dan diambil tindakan selanjutnya. Namun demikian, jika syarikat tersebut telah mendapat lesen untuk “repack” dan telah mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan, maka ia tidak ada masalah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.