Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya komuniti perumahan dalam lebih kurang 500 penduduk (50% bukan muslim -50% muslim). kami akan mengadakan Family Day dan penduduk akan membuka gerai jualan. atas dasar harmoni, kami membenarkan penduduk untuk berniaga makanan yang akan di label (halal atau pork-free). apakah pandangan dan nasihat daripada aspek agama, budaya dan kemasyarakatan dalam hal ini. adakah isu ini terlalu sensitif untuk masyarakat malaysia?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, penganjuran Family Day oleh jawatankuasa taman perumahan yang bertujuan mengeratkan keharmonian dalam kalangan penduduk sangat digalakkan. Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (al-Hujuraat : 13) Bagaimanapun, dalam soal aktiviti dan penjualan makanan perlulah dihadkan bagi mengelakkan perkara-perkara yang sensitif dengan memberi garis panduan yang dibincang bersama dalam mesyuarat jawatankuasa, termasuk pelabelan halal, kerana ia melibatkan hukum halal atau haram. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.