Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Dato' Seri/Dato'/Dr/Tuan/Puan, Saya ingin bertanya beberapa persoalan berkaitan siram air jampi pada kenderaan : 1.Apakah hukum renjis/bilas kenderaan bagi memastikan tidak kena musibah seperti kemalangan, kecurian, kerosakan dan sebagainya. 2.Apakah hukum siram/renjis kereta kerana disyakki kenderaan yang digunakan terkena Ain. 3.Adakah terdapat perbezaan/persamaan perbuatan tersebut dengan amalan kaum agama lain yang mana secara zahirnya dilihat lebih kurang sama.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara; 1. Perbuatan merenjis/ membilas kenderaan bagi mengelakkan musibah adalah sesuatu yang tidak disyariatkan, hukumnya tidak harus kerana menimbulkan fitnah dan tohmah terhadap masyarakat Islam. Jika berlaku sesuatu musibah ucaplah sebagaimana firman Allah SWT; الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ Maksud: “(iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. (al-Baqarah : 156) 2. Hukumnya juga tidak harus. Cara menghindari daripada penyakit Ain bukanlah dengan menyiram/ merenjis air ke kereta. Caranya ikutlah panduan yang telah dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abi Said RA; كان رسول الله ﷺ يتعوذ من عين الجان ثم أعين الانس. فلما نزل المعوذتان أخذهما. وترك ماسوى ذلك Maksudnya : “Adalah Rasulullah SAW berlindung diri kepada Allah dari penyakit pandangan jahat jin dan juga manusia. Maka ketika turun surah al-Muawwizatan (iaitu surah al-Falaq dan surah an-Nas) baginda mengamalkannya dan meninggalkan yang lainnya” (Riwayat Ibnu Majah) Justeru, amalkanlah bacaan surah al-Falaq dan surah an-Nas sebagai pelindung diri dari kejahatan jin, manusia dan makhluk lainnya. 3. Jika orang Islam sendiri percaya amalan tersebut, tiada bezanya dengan kaum lain. Sedangkan Islam telah memberikan panduan untuk berkenderaan dengan membaca dan mengamalkan doa sebagaimana firman Allah SWT; وَالَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنَ الْفُلْكِ وَالْأَنْعَامِ مَا تَرْكَبُونَ لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ Maksudnya : “Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya, Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: "Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -"Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!" (az-Zukhruf : 12 – 14) Selepas semua usaha dilakukan seperti memastikan kenderaan diservis, memandu secara berhemah, mematuhi isyarat di jalanraya dan sebagainya, maka bertawakkallah kepada Allah SWT. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.