Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: 1.Apakah hukum jika seseorang beri kita guna keretanya tetapi dia mengharamkan seseorang menaikinya. tetapi saya bagi naik juga. apa hukumnya? 2.ibu saya telah meninggal dunia dan saya masih ada berhutang dengannya lagi. masa meninggal dia tidak katakan apa-apa tentang hutang. bagaimana saya ingin langsaikan hutang saya pada ibu saya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara; 1. Hukumnya adalah berdosa kerana mengkhianati amanah, kerana kita hanya dapat kebenaran tersebut secara bersyarat. Dalam Islam, khianat merupakan satu dari tanda-tanda orang munafik dan perbuatan yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai ajaran Nabi SAW. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”. (al-Anfaal : 27) 2. Hutang yang tidak dapat dilunaskan sehinggalah ibu meninggal dunia, adalah menjadi harta pusaka ibu. Wang tersebut bolehlah digunakan untuk badal haji ibu (jika belum menunaikan haji), membayar hutang-hutang ibu pada orang lain (jika ada), bayarkan fidyahnya (jika ada puasa yang belum diganti) dan seumpamanya. Jika masih berbaki barulah boleh difaraidkan kepada ahli waris ibu yang masih ada, atau jika ahli waris bersetuju bolehlah diinfakkan kepada kebajikan atas nama ibu. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.