Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum saya membantu mentua dengan membayar hajinya melalui tabung haji dengan niat ingin membantu dan mengharapkan pahala, tetapi tidak memberitahu ibubapa saya perkara ini di khuatiri terasa hati. Untuk makluman tambahan, ibubapa saya adalah dari golongan mampu, tiada yang kurang malah mungkin sedikit mewah.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, membantu mentua membayar hajinya adalah sangat terpuji. Mentua juga sama tarafnya dengan ibu bapa kandung. Justeru, terpulang kepada tuan sendiri untuk tidak memberitahu kepada ibu bapa kandung, atas alasan yang difikirkan wajar. Ia termasuk dalam kategori sedekah, kerana bersedekah tidak disyaratkan untuk memaklumkan kepada sesiapa selagi harta tersebut adalah milik kita. Terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA., bahawa Rasulullah SAW bersabda: سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ في ظِلِّهِ يَوْمَ لا ظِلَّ إلَّا ظِلُّهُ: ورَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فأَخْفَاها، حتَّى لا تَعْلَمَ شِمالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينهُ Maksudnya : “Terdapat tujuh golongan yang mendapat naungan Arash pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah. Antaranya ialah seorang lelaki yang bersedekah kemudian dirahsiakan sedekahnya sehingga tidak diketahui tangan kirinya apa yang diinfakkan tangan kanannya.” (Riwayat Muslim) Iaitulah yang bersedekah tanpa orang lain mengetahuinya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.