Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz, saya ingin bertanya: 1. Setelah mandi hadas besar, Adakah darah haid/nifas yang keluar semasa solat adalah suci atau perlu menunggu sehingga darah habis keluar walau lebih dari tempoh biasa wanita keluar haid/nifas barulah mandi hadas dan melaksanakan ibadah solat? Saya musykil kerana ini kerap kali berlaku kepada saya dan rakan-rakan yang lain. Jadi bagaimana ustaz? 2.Apakah hukum bagi qadha' solat yang tertinggal dan tidak terkira harinya? Ada pendapat mengatakan, kita wajib qadha' setelah dikhatan tidak kira lelaki atau perempuan. Ada pula pendapat mengatakan wajib qadha' dari mula mumayyiz sehingga dimana hari yang kita tinggal solat. Jadi bagaimanakah ini? Apa pendapat ustaz?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, 1. Bagi darah haid dan nifas, puan hendaklah menunggu sehingga darah kering sebelum mandi hadas besar dan solat. Menurut mazhab Shafie, tempoh maksimum bagi haid adalah 15 hari, jika setelah mandi wajib, didapati darah masih keluar selepas tempoh maksimum, ia dikategorikan sebagai darah istihadah (darah penyakit). Tetapi jika dalam tempoh maksimum, maka ia adalah darah haid. Begitu juga dengan darah nifas, tempoh nifas berbeza daripada seorang wanita dengan wanita yang lain. Ia bergantung pada proses penyembuhan yang berlaku pada tempat bekas uri dinding rahim wanita. Tempoh minimum nifas adalah hanya seketika ataupun satu “lahzah”. Tempoh biasa wanita didatangi nifas adalah 40 hari, manakala tempoh maksimumnya ialah 60 hari. Justeru, jika selepas mandi hadas besar, didapati darah masih lagi keluar selepas tempoh maksimum, ia juga dikategorikan sebagai darah istihadah (darah penyakit). 2. Qada’ solat adalah wajib. Jika tidak terkira harinya, hendaklah dicatat/ dikira bermula dari umur baligh sehingga hari yang ditinggalkan solat tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.