Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum saya ingin bertanya mengenai perkara berikut : 1. apakah hukum mengambil keuntungan atau upah atas pengenalan atau cadangan didalam pemilihan tender. maksudnya ialah pekerja dalaman mencadangkan atau recommend kepada pemilihan tender, keatas tender-tender yang dicadangkan. Dan selepas itu sekiranya tender yang dicadangkan tersebut dipilih maka pekerja dalaman yang mancadangkan itu mendapat untung atau upah atas hasil cadangan beliau. adakah ini dibolehkan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, Sememangnya dalam tatacara perolehan kerajaan tidak dibenarkan sama sekali amalan recommendation atau introduce bagi pemilihan tender kerana ia melibatkan kepentingan peribadi boleh menjurus kepada kecenderungan berlakunya rasuah. Tambahan pula ada upah yang diterima hasil pekerjaan ini. Di samping perbuatan ini seakan tidak sihat untuk diamalkan kerana ia menzalimi syarikat-syarikat lain yang turut menyertai sebutharga tersebut walhal syarikat tersebut lebih layak untuk memperolehi tender. Jika merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, seorang penjawat awam boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima sesuatu yang berharga dengan tiada balasan daripada orang yang ada kena mengena dalam urusan kerja rasmi di jabatannya. Hukuman yang akan dikenakan adalah penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (al-Baqarah : 188) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.