Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya sekiranya seorang isteri telah meletakkan minyak (ilmu pengasih) ke dalam makanan suaminya tetapi dia telah bertaubat dan menyedari perbuatan itu dosa besar. Soalan saya adakah perlu bagi isteri tersebut memberitahu suaminya tentang perbuatannya dan memohon maaf atas perbuatannya atau perlu merahsiakan perkara tersebut kerana takut suaminya yang panas baran.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, alhamdulillah di atas kesedaran isteri yang telah bertaubat untuk tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal”. (Ali’Imran ayat 135 – 136) Sekiranya isteri mempunyai kekuatan untuk memberitahu kepada suami dan bersedia berhadapan dengan segala kemungkinan yang akan berlaku, mungkin itu lebih baik. Tetapi, sekiranya dengan memaklumkan perkara yang telah berlaku itu akan membawa kepada risiko yang lebih besar dan memudaratkan, isteri boleh untuk tidak memberitahunya demi kemaslahatan hubungan perkahwinan mereka. Bagaimanapun isteri perlu benar-benar insaf dan sama sekali tidak mengulangi lagi perbuatan lampau. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.